Friday, April 27, 2012


SYARAT-SYARAT PENYERTAAN :

* TERBUKA KEPADA SEMUA AHLI PBS UNIT 1;
* BEREGU KATEGORI LELAKI DAN PEREMPUAN;
*PASANGAN BEREGU DITENTUKAN DENGAN UNDIAN YANG AKAN DIBUAT SEBELUM          PERTANDINGAN BERMULA;
* HADIAH AKAN DIBERI KEPADA JOHAN HINGGA TEMPAT KE-4 MANAKALA SAGUHATI KEPADA YANG TIDAK BERJAYA.

SILA DAFTAR SEBELUM 8HB MEI 2012 BAGI KEMUDAHAN KAMI. SETIAP PENYERTAAN HANYA SAH APABILA BAYARAN PENYERTAAN DIBUAT. KECICIRAN PENYERTAAN AKAN BERLAKU KIRANYA BAYARAN PENDAFTARAN PENYERTAAN TIDAK DISERTAKAN.

TERIMA KASIH.

Monday, April 16, 2012

11hb April 2012 jam 9 pagi di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Cawangan Negeri Kelantan (IPC BSM KN) sedang berlangsung Kursus Bantuan Operasi Menyelamat (BOM), yang dikendalikan oleh Pegawai Pembangunan Operasi IPC BSM KN iaitu En. Mohd Ikhwan. Peserta terdiri daripada anggota sukarelawan/wati dari Pasukan Bantuan Sukarela Unit 1 (PBS Unit 1) dan belia lepasan sekolah yang mengikuti Latihan Bersepadu Pertolongan Cemas Bulan Sabit Merah.

Kelas teori telah diadakan pada hari ini dengan jayanya. Para peserta dilihat begitu bersemangat mengikuti kelas yang diadakan. Selesai kelas teori peserta dinilai didalam peperiksaan teori dan amali bagi mata pelajaran Bantuan Operasi Menyelamat. Mereka yang lulus akan layak menerima Sijil Bantuan Operasi Menyelamat yang merupakan salah satu sijil yang boleh dimiliki apabila berada dilandasan Kejurulatihan. Bagi peperiksaan amali kali ini pihak IPC BSM KN telah memilih lokasi luar yang sedikit mencabar keberanian dan diri peserta.

Satu simulasi bencana yang merupakan kejadian gempa bumi dilaksanakan. Lokasi yang dipilih adalah berdekatan dengan Padang Perdana, Kota Bharu. Lebih kurang 20 orang peserta kursus yang terlibat kali ini. Peranan makeup over telah dimainkan oleh Pegawai Pembangunan Operasi IPC BSM KN sendiri dibantu para peserta. Kumpulan peserta dipecahkan kepada 5 kumpulan iaitu 4 orang mangsa bertag merah (kecederaan parah), 4 orang mangsa bertag kuning (kecederaan ringan), 3 orang mangsa bertag hijau (keadaan trauma), 5 orang first responder(seorang ketua dan 4 pembantu), 5 orang second responder (khemah klinik sementara di IPC).

Lebih kurang jam 5petang IPC BSM KN telah menerima satu panggilan meminta bantuan kecemasan bagi kes runtuhan bangunan akibat gempa bumi yang berlaku di kawasan Padang Perdana. Saudara Amer telah dipilih sebagai ketua bagi mengepalai kumpulan Bantuan Operasi Menyelamat ini. Dengan pantas, beliau telah memecahkan anggota seramai 10 orang termasuk beliau kepada 3 kumpulan iaitu beliau dibantu 4 anggota sebagai first responder dan 5 anggota lain sebagai second responder yang bertugas di khemah klinik sementara di IPC BSM KN. Berbekalkan semangat sukarela dan ilmu yang ada mereka menjalankan tugas masing-masing sepertimana yang ditaklimatkan terlebih dahulu.

Saudara Amer telah ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan mendapatkan maklumat berkaitan. Semua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan merah oleh pihak bomba. Mangsa terlibat adalah seramai lebih kurang 11 orang awam yang kebetulan melalui kawasan runtuhan sebelum kejadian gempa bumi berlaku. Kecederaan yang dilaporkan adalah 4 kes patah tulang kaki, tangan dan kecederaan kepala, 4 kes kecederaan ringan yang pelbagai dan 3 kes trauma. Arahan kepada kumpulan first responder adalah mengalihkan mangsa yang berada di kawasan kuning ke khemah klinik sementara bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut. Kerjasama yang dimainkan kumpulan bantuan operasi menyelamat ini telah dapat menyelamatkan mangsa dari keadaan yang amat menakutkan.

Berlaku keadaan kelam kabut semasa operasi ini berjalan kerana lokasi didatangi orang ramai yang mahu melihat lebih dekat apa yang berlaku. Namun semua itu dapat diatasi dengan baik oleh kumpulan bantuan menyelamat BSM KN. Situasi kejadian sebenarnya diada-adakan, namun atas faktor keadaan simulasi yang dirancang bertukar kepada keadaan sebenar. Satu gempa bumi berukuran 8.9 hektar dilaporkan telah berlaku di Indonesia yang gegarannya dapat dirasai sehingga ke sini. Semangat orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan menyemarakan lagi semangat anggota BSM yang terlibat dan ia sekali gus menjadi faktor kejayaan simulasi pada hari ini berjaya dengan jayanya.

Afiq salah seorang peserta yang terlibat dalam simulasi ini berkata, seronok dan gembira dapat mempelajari Kaedah Bantuan Operasi Menyelamat. Juga dapat melihat semangat kerja satu pasukan yang saling bekerjasama untuk memberi bantuan dalam masa singkat. Walau keletihan namun beliau sangat berpuas hati.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta Kursus Bantuan Operasi Menyelamat yang terlibat, juga kepada pihak IPC BSM KN yang memberi ruang dan peluang kepada generasi muda mempelajari ilmu yang tidak mungkin diperolehi ditempat lain. Harapan semoga peserta dapat mempraktikkan ilmu BOM sekiranya berlaku musibah dimasa akan datang. Sekian, dilaporkan.


Friday, March 16, 2012

Alhamdulillah...dengan penuh kesyukuran Program Suai Kenal & Hari Keluarga Pasukan Bantuan Sukarela Unit 1, Kota Bharu, Kelantan telah dilaksanakan. Kali ini Pusat Latihan Homalee, Pachakan Semerak, Pasir Puteh menjadi destinasi pilihan bagi merialisasikan program ini. 24hb & 25hb Febuari 2012 bertepatan dengan cuti hujung minggu, dipilih untuk melaksanakan program ini. Cik Aini Bt Mamat selaku Pengarah Program bersama barisan AJK program dengan kerjasama Pengurus Tadika Homalee Kota Bharu, yang mengizinkan penggunaan tempat iaitu Pusat Latihan Homalee, disokong oleh Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Kelantan dan dimeriahkan oleh para anggota sukarela PBS Unit 1, telah menjayakan lagi program ini. Semangat kekeluargaan dan sukarela dalam PBS Unit 1 adalah faktor kekuatan kejayaan Unit ini dapat melaksanakan pelbagai aktiviti dimerata tempat. Program ini dirancang bagi meraikan ahli-ahli lama dan baru. Setiap tahun program seumpama ini dilaksanakan dan ia menjadi program tradisi Unit.

Rata-rata menyatakan kegembiraan dan syukur menjadi sebahagian dari warga keluarga Unit 1. Fatihah (bukan nama sebenar) berkata, hari keluarga ini sangat bagus bagi mengeratkan silatulrahim sesama kita dan dapat mengenali antara satu sama lain.Beliau cadangkan aktiviti dipelbagaikan seperti yang terjadi hari ini, Kem Kesihatan Percuma untuk penduduk kampung.Ia bukan sahaja kita dapat memberi khidmat secara percuma dari segi kesihatan malah dapat menolong bangsa sendiri yang mana kita sedia maklum penduduk di sini adalah dari golongan nelayan yang mungkin mengalami masalah kewangan bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik di bandar.Dengan adanya Kem kesihatan Percuma sebegini, ia bagaikan satu Rahmat dari Ilahi buat mereka. Pada pandangan beliau, Kem Kesihatan seperti ini sangat bagus diadakan disetiap Daerah dan diperluaskan hingga Negeri kejiranan seterusnya Negara kejiranan.

Pengarah program Cik Aini, sangat seronok dan puas hati program dapat dijalankan dengan baik sekali hasil kerjasama semua warga PBS Unit 1. Syukur alhamdulillah walau ini adalah pertama kali beliau mengarah program, pelbagai dugaan dan cabaran dilalui dengan penuh kesabaran demi memantapkan lagi pasukan ini. Ditanya kenapa golongan belia sangat ramai menyertai PBS Unit1? Beliau berkata, golongan belia adalah golongan terbaik untuk dijadikan bahan mengembang idea dimana golongan ini dikatakan mempunyai pemikiran yang masih segar, yang kita boleh asah bagi mendapatkan idea bernas untuk mengolah pelbagai aktiviti menarik bagi mengembangkan lagi Unit.Tenaga muda yang dimiliki mereka amat diperlukan bagi menjayakan program-program yang dirancang.Golongan ini juga dikatakan mempunyai pengaruh besar dikalangan mereka, maksudnya mereka sebagai modal Unit untuk menambah bilangan keahlian.

Wani dan Nasir pula meluahkan rasa gembira dan syukur berada dalam keluarga PBS Unit 1. Selain dapat menambah ilmu pengetahuan tentang sosial keluarga juga dapat mempelajari adat sopan sesama kita iaitu hormat-menghormati, budi bahasa, corak pergaulan dan sifat tolong-menolong. Selain itu, mereka dapat belajar satu perkara yang sebelum ini mereka rasa remeh-temeh iaitu masa. Masa sangat penting dalam kehidupan, setiap aktiviti dan perkara yang dilakukan bersama, masa adalah sebahagian kepada faktor kejayaan satu-satu aktiviti. Oleh itu solat dan masa mesti dijaga demi kehidupan yang lebih berkualiti.

Komandan PBS Unit 1 En.Mazlan Mahmood berkata program ini sangat bagus dalam mengeratkan silatulrahim diantara kami, yang ada 3 golongan iaitu barisan Ahli Jawatankuasa Unit termasuk beliau, ahli baru dan ahli veteran. Hari keluarga adalah satu program yang semestinya dilaksanakan setiap tahun bagi PBS Unit 1 kerana melalui program ini, kami dapat berkumpul berbincang idea-idea baru dan berkongsi cerita sambil bercuti melapangkan fikiran. Sudah banyak tempat dijelajah bagi melaksanakan hari keluarga diantaranya Jeram Linang, Pasir Puteh, La Hot Spring Besut, Lata Tembakah Besut, Daerah Tumpat dan lain-lain. Kekuatan kami adalah pada semangat kekeluargaan yang kami pupuk sejak dulu sebab itu lah Unit ini adalah Unit tertua dalam Bulan Sabit Merah Kelantan. Selain itu tidak dinafikan kami mendapat sokongan padu dari Ibu Pejabat BSM Kelantan yang selalu menyumbang barangan keperluan untuk kami melaksanakan satu-satu program termasuklah hari keluarga ini. Alhamdulillah ekoran keikhlasan dan semangat sukarela kami selama ini menyumbang tenaga dan masa dalam pelbagai aktiviti BSM, kami diberi berita gembira pada penghujung minggu sebelum hari keluarga ini dilaksana iaitu kami diberi kepercayaan mengurus satu Kem Latihan yang lengkap dengan kemudahan asas. Satu modal besar kami dapat bagi menjana pendapatan Unit yang semua tahu PBSM adalah satu badan NGO yang bergerak hasil sumbangan orang ramai dan badan-badan kerajaan serta swasta. Harapan beliau semoga PBS Unit 1 maju dan terus maju. Juga tradisi Unit ini (hari keluarga) dapat diteruskan oleh generasi muda akan datang. Terima kasih kepada semua atas sokongan anda kepada saya, kata beliau.

Warga PBS Unit 1 mendapat kunjungan rasmi dari Pegawai Pembangunan Operasi Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Kelantan iaitu En.Mohd Ikhwan. Katanya program Hari Keluarga PBS Unit 1 kali ini sangat bagus kerana bercampuran keahlian yang terdiri dari belia-belia lepasan sekolah, golongan bekerja dan golongan ibu tunggal. Ia menjadikan Unit ini unit yang paling unik dalam sejarah BSM Kelantan. Sebagai Pegawai IPC BSM Kelantan beliau menyatakan bahawa IPC menyokong penuh segala aktiviti yang dianjurkan setiap unit demi mengembangkan lagi pasukan sukarela di bawah naungan IPC BSM Kelantan. Sokongan penuh seperti barangan kelengkapan program, sijil, alat siaraya dan kenderaan persatuan malah sokongan dalam bentuk kewangan juga disalurkan. IPC mengalu-alukan pelbagai program menarik dilaksanakan setiap pasukan sukarela seperti PBS Unit 1 dan Ia sekaligus mengangkat nama Unit itu sendiri dimata masyarakat. Selain beliau warga PBS Unit 1 bertuah dikunjungi Pegawai PBS En.Norudin bersama isteri. Terima kasih di atas kunjungan pegawai berkenaan.

Tahniah PBS Unit 1, KB KN, atas kejayaan program suai kenal & hari keluarga yang telah diadakan baru-baru ini. Semoga dengan pelbagai aktiviti PBS 1 bertambah kukuh & kuat di masa akan datang. Terima kasih kepada pihak yang memberi sokongan terutama IPC BSM KN, para ajk PBS 1, ahli-ahli PBS 1, para tetamu yang hadir sama serta para dermawan/wati yang menyumbang kepada tabung PBS 1. tq

Tuesday, February 14, 2012

Hari Keluarga PBS 1

PENGUMUMAN

HARI KELUARGA PBS 1 kembali lagi bagi tahun 2012...akan diadakan di PUSAT LATIHAN HOMALEE, PANCAKAN, BESUT, merangkap Pusat Latihan PBS 1; Pada 24HB HINGGA 25HB Feb 2012 (Jumaat & Sabtu).

Semua dijemput menyertai, dengan syarat membuat pendaftaran bagi proses pengurusan tempat menginap, makan minum & sijil.

Kadar bayaran:
a) 12th & ke bawah RM10/seorang
b) 13th hingga 18th RM 20/seorang &
c) 19th ke atas RM 30/seorang.

**Sekeluarga boleh sertai tetapi kadar bayaran belum dimuktamadkan untuk penyertaan kategori keluarga.

Pelbagai aktiviti menarik akan dilaksanakan bagi memeriahkan lagi percutian keluarga PBS 1. Rebutlah pelbagai hadiah menarik yang disediakan dengan menyertai aktiviti yang kami sediakan.

TENTATIF PROGRAM

24 Februari 2012 (Jumaat)

8.30 pagi: Pendaftaran peserta di Ibu Pejabat Cawangan, BSMM Kelantan
9.00 pagi: Bertolak ke Pusat Latihan Homalee
10.15 pagi: Taklimat program
10.30 pagi: Persiapan tempat dan mendirikan khemah
1.00 ptg : Solat Jumaat / Zohor dan makan tengah hari
3.00 ptg : Ice breaking dan persediaan malam kebudayaan
4.30 ptg : Solat Asar berjemaah
5.00 ptg : Riadah petang
7.00 ptg : Solat Maghrib, kuliah Maghrib dan solat Isya’ berjemaah
9.00 mlm : BBQ dan persembahan malam kebudayaan
11.30 mlm : Tidur

25 Februari 2012 (sabtu)

6.00 pagi: Kuliah Subuh dan solat Subuh berjemaah
6.45 pagi: Senaman pagi
7.30 pagi: Sarapan
8.00 pagi: Sukaneka
11.30 pagi: Majlis penutup
12.00 tghr: Persiapan pulang dan makan tengah hari
2.00 ptg : Kem Kesihatan
5.00 ptg : Bertolak pulang ke IPC BSM KN

Kelengkapan perlu dibawa: 1. Pakaian t-shirt PBSM;
2. Pakaian solat;
3. Pakaian sukan;
4. Pakaian basahan ( mandi pantai);
5. Alatan mandi;
6. Alatan makan (pingan, sudu/garpu, gelas) &
7. Kelengkapan lain difikirkan perlu ( ubat persendirian dll)

Pendaftaran atas talian dibuka sekarang. Sila hubungi 013-353 1241 (setiausaha PBS 1) @ 013-940 5467 (Komandan PBS 1).

Tarikh tutup pendaftaran sebelum 23HB FEB 2012.

Sekian dimaklumkan.tq

Friday, February 10, 2012


Utusan 9/02/2012 : Ahli BSM Kelantan didedah cara urus jenazah

KOTA BHARU 8 Feb. - "Bulan Sabit Merah di Malaysia, giat berjasa untuk negara, tidak kira kaum dan agama, waktu aman atau bahaya."

Itu antara bait lagu rasmi Bulan Sabit Merah (BSM), sebuah pertubuhan sukarela yang ditubuhkan di negara ini pada September 1963. Kelibat anggotanya amat biasa dilihat dalam kerja-kerja kebajikan, memberikan pertolongan cemas sama ada ketika bencana melanda, mahupun pada penganjuran sukan di peringkat sekolah atau kampung.

Kehadiran ahli BSM yang segak dengan pakaian seragam berwarna putih dan bertopi atau bertudung hitam, pasti melegakan sesiapa sahaja tatkala memerlukan bantuan kecemasan.

Menyedari peranan yang dimainkan BSM semakin penting dan tidak terbatas setakat bantuan kecemasan semasa bencana, maka BSM Negeri Kelantan mengorak langkah apabila julung-julung kali menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah kepada kira-kira 50 ahlinya, baru-baru ini.

Kursus tersebut berlangsung di Masjid Al-Hakim Tanjung Chat dekat sini, turut disertai penduduk setempat.

Sepanjang kursus sehari itu, anggota terbabit didedahkan secara teori dan praktikal aspek pengurusan jenazah yang merupakan fardu kifayah dan perlu diketahui oleh umat Islam secara umum. Kursus itu dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Tumpat, Mohd. Faizol Zainuddin dan Mohamad Razak.

Menurut Pengarah BSM Negeri Kelantan, Tuan Harun Tuan Yahya, kursus berkenaan dikendalikan oleh pasukan bantuan sukarela unit 1 persatuan itu yang dianggotai seramai kira-kira 300 ahli dan rata-rata mempunyai kemahiran memasak untuk mangsa bencana alam terutama banjir.

Di Kelantan katanya, unit berkenaan sentiasa bersiap sedia untuk dipanggil ke pusat-pusat pemindahan banjir bagi memberikan khidmat kepada masyarakat.

"Tetapi dalam membantu pengurusan jenazah, mereka masih tidak mempunyai kemahiran tersebut sedangkan ilmu mengenai perkara itu berkait rapat dengan tuntutan agama," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tuan Harun berkata, menyedari perlunya ahli-ahli BSM dilengkapi dengan ilmu tersebut kerana mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kesularelawanan termasuk menyelamatkan mangsa bencana, maka pihaknya, terpanggil menganjurkan kursus pengurusan jenazah itu.

"Sebagai ahli, mereka turut terdedah kepada pelbagai keadaan kecemasan yang memerlukan mereka bertindak secara profesional," ujarnya.

Tambahnya, BSM Negeri Kelantan amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Masjid Tumpat yang mempunyai modul lengkap mengenai pengurusan jenazah.

"Bermula dengan kursus perintis itu, BSM Negeri Kelantan bercadang untuk memperluaskan kursus pengurusan jenazah ini kepada ahli-ahli di seluruh

negeri.

"Harapan kita, jika berlaku kecemasan dan kematian ahli-ahli BSM Negeri Kelantan tidak berdepan masalah kerana mereka sudah mempunyai kemahiran menguruskan jenazah," katanya lagi.

Sementara itu, dua peserta kursus menyifatkan usaha BSM Negeri Kelantan itu sangat baik kerana ia memberi pengetahuan kepada mereka dalam menguruskan jenazah sekiranya berdepan saat-saat tersebut pada masa hadapan.

Ahmad Shazili Mohd. Sidek, 45, berkata, kursus itu penting dalam memberi pengetahuan lengkap mengenai pengurusan jenazah mengikut tuntutan agama.

"Sebelum ini, saya sekadar membantu mengangkat jenazah ahli keluarga terdekat untuk dimandi dan dikafankan. Hanya itu yang dapat saya lakukan kerana tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai urusan tersebut, '' akuinya.

Lantaran itu katanya, seiring dengan peningkatan usia maka penting bagi dia mempunyai pengetahuan yang betul bagaimana untuk menguruskan jenazah supaya boleh sama-sama membantu apabila berlaku kematian sama ada ahli keluarga atau anggota masyarakat.

"Mungkin pada masa dahulu, ramai di kalangan ahli masyarakat yang mendapat pengetahuan itu di sekolah-sekolah pondok yang membolehkan mereka mampu menguruskan jenazah.

"Tetapi jumlah mereka semakin berkurangan, kemungkinan akan menjadi masalah pada masa hadapan. Tidak rugi mempunyai pengetahuan dan kemahiran itu kerana ia satu keperluan yang dituntut oleh agama Islam," katanya yang menyambut baik usaha BSM Negeri Kelantan itu.

Syarifah Hanis Syed Mohd., 23, oula menyifatkan dirinya bernasib baik kerana dalam usia yang masih mudah, berpeluang menyertai kursus pengurusan jenazah itu.

"Daripada pemerhatian saya , ianya nampak mudah tetapi masih perlu dipelajari daripada mereka yang lebih arif kerana terdapat peraturan tertentu yang mesti dipatuhi," katanya.

Kata penuntut Universiti Teknologi Maran (UiTM) Kampus Kota Bharu itu, pengetahuan yang diperolehi boleh dipraktikkan sekiranya berlaku kematian.

"Kursus seumpama ini mampu memberi pengetahuan berguna kepada saya dan peserta lain, samping memberi keinsafan dalam menjalani kehidupan seharian," akuinya.