Friday, February 10, 2012


Utusan 9/02/2012 : Ahli BSM Kelantan didedah cara urus jenazah

KOTA BHARU 8 Feb. - "Bulan Sabit Merah di Malaysia, giat berjasa untuk negara, tidak kira kaum dan agama, waktu aman atau bahaya."

Itu antara bait lagu rasmi Bulan Sabit Merah (BSM), sebuah pertubuhan sukarela yang ditubuhkan di negara ini pada September 1963. Kelibat anggotanya amat biasa dilihat dalam kerja-kerja kebajikan, memberikan pertolongan cemas sama ada ketika bencana melanda, mahupun pada penganjuran sukan di peringkat sekolah atau kampung.

Kehadiran ahli BSM yang segak dengan pakaian seragam berwarna putih dan bertopi atau bertudung hitam, pasti melegakan sesiapa sahaja tatkala memerlukan bantuan kecemasan.

Menyedari peranan yang dimainkan BSM semakin penting dan tidak terbatas setakat bantuan kecemasan semasa bencana, maka BSM Negeri Kelantan mengorak langkah apabila julung-julung kali menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah kepada kira-kira 50 ahlinya, baru-baru ini.

Kursus tersebut berlangsung di Masjid Al-Hakim Tanjung Chat dekat sini, turut disertai penduduk setempat.

Sepanjang kursus sehari itu, anggota terbabit didedahkan secara teori dan praktikal aspek pengurusan jenazah yang merupakan fardu kifayah dan perlu diketahui oleh umat Islam secara umum. Kursus itu dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Tumpat, Mohd. Faizol Zainuddin dan Mohamad Razak.

Menurut Pengarah BSM Negeri Kelantan, Tuan Harun Tuan Yahya, kursus berkenaan dikendalikan oleh pasukan bantuan sukarela unit 1 persatuan itu yang dianggotai seramai kira-kira 300 ahli dan rata-rata mempunyai kemahiran memasak untuk mangsa bencana alam terutama banjir.

Di Kelantan katanya, unit berkenaan sentiasa bersiap sedia untuk dipanggil ke pusat-pusat pemindahan banjir bagi memberikan khidmat kepada masyarakat.

"Tetapi dalam membantu pengurusan jenazah, mereka masih tidak mempunyai kemahiran tersebut sedangkan ilmu mengenai perkara itu berkait rapat dengan tuntutan agama," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tuan Harun berkata, menyedari perlunya ahli-ahli BSM dilengkapi dengan ilmu tersebut kerana mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kesularelawanan termasuk menyelamatkan mangsa bencana, maka pihaknya, terpanggil menganjurkan kursus pengurusan jenazah itu.

"Sebagai ahli, mereka turut terdedah kepada pelbagai keadaan kecemasan yang memerlukan mereka bertindak secara profesional," ujarnya.

Tambahnya, BSM Negeri Kelantan amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Masjid Tumpat yang mempunyai modul lengkap mengenai pengurusan jenazah.

"Bermula dengan kursus perintis itu, BSM Negeri Kelantan bercadang untuk memperluaskan kursus pengurusan jenazah ini kepada ahli-ahli di seluruh

negeri.

"Harapan kita, jika berlaku kecemasan dan kematian ahli-ahli BSM Negeri Kelantan tidak berdepan masalah kerana mereka sudah mempunyai kemahiran menguruskan jenazah," katanya lagi.

Sementara itu, dua peserta kursus menyifatkan usaha BSM Negeri Kelantan itu sangat baik kerana ia memberi pengetahuan kepada mereka dalam menguruskan jenazah sekiranya berdepan saat-saat tersebut pada masa hadapan.

Ahmad Shazili Mohd. Sidek, 45, berkata, kursus itu penting dalam memberi pengetahuan lengkap mengenai pengurusan jenazah mengikut tuntutan agama.

"Sebelum ini, saya sekadar membantu mengangkat jenazah ahli keluarga terdekat untuk dimandi dan dikafankan. Hanya itu yang dapat saya lakukan kerana tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai urusan tersebut, '' akuinya.

Lantaran itu katanya, seiring dengan peningkatan usia maka penting bagi dia mempunyai pengetahuan yang betul bagaimana untuk menguruskan jenazah supaya boleh sama-sama membantu apabila berlaku kematian sama ada ahli keluarga atau anggota masyarakat.

"Mungkin pada masa dahulu, ramai di kalangan ahli masyarakat yang mendapat pengetahuan itu di sekolah-sekolah pondok yang membolehkan mereka mampu menguruskan jenazah.

"Tetapi jumlah mereka semakin berkurangan, kemungkinan akan menjadi masalah pada masa hadapan. Tidak rugi mempunyai pengetahuan dan kemahiran itu kerana ia satu keperluan yang dituntut oleh agama Islam," katanya yang menyambut baik usaha BSM Negeri Kelantan itu.

Syarifah Hanis Syed Mohd., 23, oula menyifatkan dirinya bernasib baik kerana dalam usia yang masih mudah, berpeluang menyertai kursus pengurusan jenazah itu.

"Daripada pemerhatian saya , ianya nampak mudah tetapi masih perlu dipelajari daripada mereka yang lebih arif kerana terdapat peraturan tertentu yang mesti dipatuhi," katanya.

Kata penuntut Universiti Teknologi Maran (UiTM) Kampus Kota Bharu itu, pengetahuan yang diperolehi boleh dipraktikkan sekiranya berlaku kematian.

"Kursus seumpama ini mampu memberi pengetahuan berguna kepada saya dan peserta lain, samping memberi keinsafan dalam menjalani kehidupan seharian," akuinya.

No comments: