11hb April 2012 jam 9 pagi di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Cawangan Negeri Kelantan (IPC BSM KN) sedang berlangsung Kursus Bantuan Operasi Menyelamat (BOM), yang dikendalikan oleh Pegawai Pembangunan Operasi IPC BSM KN iaitu En. Mohd Ikhwan. Peserta terdiri daripada anggota sukarelawan/wati dari Pasukan Bantuan Sukarela Unit 1 (PBS Unit 1) dan belia lepasan sekolah yang mengikuti Latihan Bersepadu Pertolongan Cemas Bulan Sabit Merah.
Kelas teori telah diadakan pada hari ini dengan jayanya. Para peserta dilihat begitu bersemangat mengikuti kelas yang diadakan. Selesai kelas teori peserta dinilai didalam peperiksaan teori dan amali bagi mata pelajaran Bantuan Operasi Menyelamat. Mereka yang lulus akan layak menerima Sijil Bantuan Operasi Menyelamat yang merupakan salah satu sijil yang boleh dimiliki apabila berada dilandasan Kejurulatihan. Bagi peperiksaan amali kali ini pihak IPC BSM KN telah memilih lokasi luar yang sedikit mencabar keberanian dan diri peserta.
Satu simulasi bencana yang merupakan kejadian gempa bumi dilaksanakan. Lokasi yang dipilih adalah berdekatan dengan Padang Perdana, Kota Bharu. Lebih kurang 20 orang peserta kursus yang terlibat kali ini. Peranan makeup over telah dimainkan oleh Pegawai Pembangunan Operasi IPC BSM KN sendiri dibantu para peserta. Kumpulan peserta dipecahkan kepada 5 kumpulan iaitu 4 orang mangsa bertag merah (kecederaan parah), 4 orang mangsa bertag kuning (kecederaan ringan), 3 orang mangsa bertag hijau (keadaan trauma), 5 orang first responder(seorang ketua dan 4 pembantu), 5 orang second responder (khemah klinik sementara di IPC).
Lebih kurang jam 5petang IPC BSM KN telah menerima satu panggilan meminta bantuan kecemasan bagi kes runtuhan bangunan akibat gempa bumi yang berlaku di kawasan Padang Perdana. Saudara Amer telah dipilih sebagai ketua bagi mengepalai kumpulan Bantuan Operasi Menyelamat ini. Dengan pantas, beliau telah memecahkan anggota seramai 10 orang termasuk beliau kepada 3 kumpulan iaitu beliau dibantu 4 anggota sebagai first responder dan 5 anggota lain sebagai second responder yang bertugas di khemah klinik sementara di IPC BSM KN. Berbekalkan semangat sukarela dan ilmu yang ada mereka menjalankan tugas masing-masing sepertimana yang ditaklimatkan terlebih dahulu.
Saudara Amer telah ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan mendapatkan maklumat berkaitan. Semua mangsa telah dikeluarkan dari kawasan merah oleh pihak bomba. Mangsa terlibat adalah seramai lebih kurang 11 orang awam yang kebetulan melalui kawasan runtuhan sebelum kejadian gempa bumi berlaku. Kecederaan yang dilaporkan adalah 4 kes patah tulang kaki, tangan dan kecederaan kepala, 4 kes kecederaan ringan yang pelbagai dan 3 kes trauma. Arahan kepada kumpulan first responder adalah mengalihkan mangsa yang berada di kawasan kuning ke khemah klinik sementara bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut. Kerjasama yang dimainkan kumpulan bantuan operasi menyelamat ini telah dapat menyelamatkan mangsa dari keadaan yang amat menakutkan.
Berlaku keadaan kelam kabut semasa operasi ini berjalan kerana lokasi didatangi orang ramai yang mahu melihat lebih dekat apa yang berlaku. Namun semua itu dapat diatasi dengan baik oleh kumpulan bantuan menyelamat BSM KN. Situasi kejadian sebenarnya diada-adakan, namun atas faktor keadaan simulasi yang dirancang bertukar kepada keadaan sebenar. Satu gempa bumi berukuran 8.9 hektar dilaporkan telah berlaku di Indonesia yang gegarannya dapat dirasai sehingga ke sini. Semangat orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan menyemarakan lagi semangat anggota BSM yang terlibat dan ia sekali gus menjadi faktor kejayaan simulasi pada hari ini berjaya dengan jayanya.
Afiq salah seorang peserta yang terlibat dalam simulasi ini berkata, seronok dan gembira dapat mempelajari Kaedah Bantuan Operasi Menyelamat. Juga dapat melihat semangat kerja satu pasukan yang saling bekerjasama untuk memberi bantuan dalam masa singkat. Walau keletihan namun beliau sangat berpuas hati.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta Kursus Bantuan Operasi Menyelamat yang terlibat, juga kepada pihak IPC BSM KN yang memberi ruang dan peluang kepada generasi muda mempelajari ilmu yang tidak mungkin diperolehi ditempat lain. Harapan semoga peserta dapat mempraktikkan ilmu BOM sekiranya berlaku musibah dimasa akan datang. Sekian, dilaporkan.
No comments:
Post a Comment