Tuesday, February 14, 2012
Hari Keluarga PBS 1
HARI KELUARGA PBS 1 kembali lagi bagi tahun 2012...akan diadakan di PUSAT LATIHAN HOMALEE, PANCAKAN, BESUT, merangkap Pusat Latihan PBS 1; Pada 24HB HINGGA 25HB Feb 2012 (Jumaat & Sabtu).
Semua dijemput menyertai, dengan syarat membuat pendaftaran bagi proses pengurusan tempat menginap, makan minum & sijil.
Kadar bayaran:
a) 12th & ke bawah RM10/seorang
b) 13th hingga 18th RM 20/seorang &
c) 19th ke atas RM 30/seorang.
**Sekeluarga boleh sertai tetapi kadar bayaran belum dimuktamadkan untuk penyertaan kategori keluarga.
Pelbagai aktiviti menarik akan dilaksanakan bagi memeriahkan lagi percutian keluarga PBS 1. Rebutlah pelbagai hadiah menarik yang disediakan dengan menyertai aktiviti yang kami sediakan.
TENTATIF PROGRAM
24 Februari 2012 (Jumaat)
8.30 pagi: Pendaftaran peserta di Ibu Pejabat Cawangan, BSMM Kelantan
9.00 pagi: Bertolak ke Pusat Latihan Homalee
10.15 pagi: Taklimat program
10.30 pagi: Persiapan tempat dan mendirikan khemah
1.00 ptg : Solat Jumaat / Zohor dan makan tengah hari
3.00 ptg : Ice breaking dan persediaan malam kebudayaan
4.30 ptg : Solat Asar berjemaah
5.00 ptg : Riadah petang
7.00 ptg : Solat Maghrib, kuliah Maghrib dan solat Isya’ berjemaah
9.00 mlm : BBQ dan persembahan malam kebudayaan
11.30 mlm : Tidur
25 Februari 2012 (sabtu)
6.00 pagi: Kuliah Subuh dan solat Subuh berjemaah
6.45 pagi: Senaman pagi
7.30 pagi: Sarapan
8.00 pagi: Sukaneka
11.30 pagi: Majlis penutup
12.00 tghr: Persiapan pulang dan makan tengah hari
2.00 ptg : Kem Kesihatan
5.00 ptg : Bertolak pulang ke IPC BSM KN
Kelengkapan perlu dibawa: 1. Pakaian t-shirt PBSM;
2. Pakaian solat;
3. Pakaian sukan;
4. Pakaian basahan ( mandi pantai);
5. Alatan mandi;
6. Alatan makan (pingan, sudu/garpu, gelas) &
7. Kelengkapan lain difikirkan perlu ( ubat persendirian dll)
Pendaftaran atas talian dibuka sekarang. Sila hubungi 013-353 1241 (setiausaha PBS 1) @ 013-940 5467 (Komandan PBS 1).
Tarikh tutup pendaftaran sebelum 23HB FEB 2012.
Sekian dimaklumkan.tq
Friday, February 10, 2012
Utusan 9/02/2012 : Ahli BSM Kelantan didedah cara urus jenazah
KOTA BHARU 8 Feb. - "Bulan Sabit Merah di Malaysia, giat berjasa untuk negara, tidak kira kaum dan agama, waktu aman atau bahaya."
Itu antara bait lagu rasmi Bulan Sabit Merah (BSM), sebuah pertubuhan sukarela yang ditubuhkan di negara ini pada September 1963. Kelibat anggotanya amat biasa dilihat dalam kerja-kerja kebajikan, memberikan pertolongan cemas sama ada ketika bencana melanda, mahupun pada penganjuran sukan di peringkat sekolah atau kampung.
Kehadiran ahli BSM yang segak dengan pakaian seragam berwarna putih dan bertopi atau bertudung hitam, pasti melegakan sesiapa sahaja tatkala memerlukan bantuan kecemasan.
Menyedari peranan yang dimainkan BSM semakin penting dan tidak terbatas setakat bantuan kecemasan semasa bencana, maka BSM Negeri Kelantan mengorak langkah apabila julung-julung kali menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah kepada kira-kira 50 ahlinya, baru-baru ini.
Kursus tersebut berlangsung di Masjid Al-Hakim Tanjung Chat dekat sini, turut disertai penduduk setempat.
Sepanjang kursus sehari itu, anggota terbabit didedahkan secara teori dan praktikal aspek pengurusan jenazah yang merupakan fardu kifayah dan perlu diketahui oleh umat Islam secara umum. Kursus itu dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Tumpat, Mohd. Faizol Zainuddin dan Mohamad Razak.
Menurut Pengarah BSM Negeri Kelantan, Tuan Harun Tuan Yahya, kursus berkenaan dikendalikan oleh pasukan bantuan sukarela unit 1 persatuan itu yang dianggotai seramai kira-kira 300 ahli dan rata-rata mempunyai kemahiran memasak untuk mangsa bencana alam terutama banjir.
Di Kelantan katanya, unit berkenaan sentiasa bersiap sedia untuk dipanggil ke pusat-pusat pemindahan banjir bagi memberikan khidmat kepada masyarakat.
"Tetapi dalam membantu pengurusan jenazah, mereka masih tidak mempunyai kemahiran tersebut sedangkan ilmu mengenai perkara itu berkait rapat dengan tuntutan agama," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Tuan Harun berkata, menyedari perlunya ahli-ahli BSM dilengkapi dengan ilmu tersebut kerana mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kesularelawanan termasuk menyelamatkan mangsa bencana, maka pihaknya, terpanggil menganjurkan kursus pengurusan jenazah itu.
"Sebagai ahli, mereka turut terdedah kepada pelbagai keadaan kecemasan yang memerlukan mereka bertindak secara profesional," ujarnya.
Tambahnya, BSM Negeri Kelantan amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Masjid Tumpat yang mempunyai modul lengkap mengenai pengurusan jenazah.
"Bermula dengan kursus perintis itu, BSM Negeri Kelantan bercadang untuk memperluaskan kursus pengurusan jenazah ini kepada ahli-ahli di seluruh
negeri.
"Harapan kita, jika berlaku kecemasan dan kematian ahli-ahli BSM Negeri Kelantan tidak berdepan masalah kerana mereka sudah mempunyai kemahiran menguruskan jenazah," katanya lagi.
Sementara itu, dua peserta kursus menyifatkan usaha BSM Negeri Kelantan itu sangat baik kerana ia memberi pengetahuan kepada mereka dalam menguruskan jenazah sekiranya berdepan saat-saat tersebut pada masa hadapan.
Ahmad Shazili Mohd. Sidek, 45, berkata, kursus itu penting dalam memberi pengetahuan lengkap mengenai pengurusan jenazah mengikut tuntutan agama.
"Sebelum ini, saya sekadar membantu mengangkat jenazah ahli keluarga terdekat untuk dimandi dan dikafankan. Hanya itu yang dapat saya lakukan kerana tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai urusan tersebut, '' akuinya.
Lantaran itu katanya, seiring dengan peningkatan usia maka penting bagi dia mempunyai pengetahuan yang betul bagaimana untuk menguruskan jenazah supaya boleh sama-sama membantu apabila berlaku kematian sama ada ahli keluarga atau anggota masyarakat.
"Mungkin pada masa dahulu, ramai di kalangan ahli masyarakat yang mendapat pengetahuan itu di sekolah-sekolah pondok yang membolehkan mereka mampu menguruskan jenazah.
"Tetapi jumlah mereka semakin berkurangan, kemungkinan akan menjadi masalah pada masa hadapan. Tidak rugi mempunyai pengetahuan dan kemahiran itu kerana ia satu keperluan yang dituntut oleh agama Islam," katanya yang menyambut baik usaha BSM Negeri Kelantan itu.
Syarifah Hanis Syed Mohd., 23, oula menyifatkan dirinya bernasib baik kerana dalam usia yang masih mudah, berpeluang menyertai kursus pengurusan jenazah itu.
"Daripada pemerhatian saya , ianya nampak mudah tetapi masih perlu dipelajari daripada mereka yang lebih arif kerana terdapat peraturan tertentu yang mesti dipatuhi," katanya.
Kata penuntut Universiti Teknologi Maran (UiTM) Kampus Kota Bharu itu, pengetahuan yang diperolehi boleh dipraktikkan sekiranya berlaku kematian.
"Kursus seumpama ini mampu memberi pengetahuan berguna kepada saya dan peserta lain, samping memberi keinsafan dalam menjalani kehidupan seharian," akuinya.